Rabu, 4 Mei 2011

Soi Lek melampau

Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 3 Mei: Dewan Pemuda PAS Pusat (DPPP) menyifatkan kenyataan Presiden MCA, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek yang mahu BN menutup pintunya kepada PAS kecuali PAS sanggup menggugurkan prinsip-prinsip negara Islam terlebih dahulu sebagai keterlaluan, melampau dan cuba mencipta permusuhan dengan umat Islam di negara ini.

Pengarah Pilihan raya DPPP, Mohd Firdaus Jaafar berkata, presiden MCA itu tidak wajar mengeluarkan kenyataan yang boleh menimbulkan sentimen keagamaan dan perkauman dalam negara ini.

Katanya, umat Islam adalah sebagai golongan majoriti di negara ini, bahkan agama Islam juga dijadikan sebagai agama Persekutuan.

“Apakah masalahnya sekiranya PAS meletakkan prinsip Islamnya yang sememangnya bertepatan dengan agama persekutuan ini?

“Persoalannya sekarang adakah MCA mahu bermusuh dengan PAS atau bermusuh dengan umat Islam di negara ini?” ujarnya dalam satu kenyataan.

Katanya, kenyataan Presiden MCA juga menjelaskan siapa Umno sebenarnya di sisi rakyat dan BN.

Tambahnya, ternyata kenyataan Soi Lek membenarkan bahawa Umno sememang parti sekular dan tidak berkehendakkan Islam.

Menurutnya, perkataan Islam hanya bermain di bibir mereka sahaja di hadapan orang Melayu.

“Mana mungkin MCA boleh menerima kehadiran Umno sebagai peneraju BN dalam keadaan Umno mahu melaksanakan Islam,” ujarnya.

Ini, tambahnya menjelaskan lagi bahawa Umno bukanlah parti untuk umat Islam dan rakyat khususnya yang beragama Islam dan mahukan Islam tidak boleh bernaung di bawah Umno.

Beliau yang juga ahli Parlimen Jerai menambah, mana mungkin Umno berani melaksanakan Islam sekiranya parti komponen mereka sendiri menentang.

Ini, jelasnya berbeza dengan Pakatan Rakyat (PR) bilamana DAP lebih menghormati prinsip Islam yang diperjuangkan oleh PAS.

Katanya, Pengerusi DAP, Karpal Singh ketika berucap di Konvensyen PR tahun lalu juga menyebut dengan jelas akan komitmen parti itu mempertahankan Islam sebagai agama rasmi bersama-sama PR.

“DPPP menegaskan bahawa PAS tetap dengan prinsip Islamnya, walau dengan siapa PAS berkawan.

“Prinsip Islam dalam PAS telah termaktub sejak hari pertama penubuhannya dan ia konsisten sehingga ke hari ini,” katanya.

DPPP juga, katanya menegaskan bahawa PAS tetap bersama dengan Pakatan Rakyat yang menjadi harapan rakyat ketika ini untuk menggantikan BN yang semakin lemah.

PAS, tegasnya tidak akan terhegeh-hegeh untuk menerima pelawaan Umno kerana PAS sentiasa menjaga setiakawan bersama PR.

“Namun sebaliknya Umno atau MCA perlu keluar dari BN dan bersama-sama PR bagi meneruskan survival parti mereka yang sudah semakin hilang sokongan rakyat,” katanya.

Tiada ulasan: