http://3.bp.blogspot.com/_flipuZb0buo/TFI8qrEYV3I/AAAAAAAAA68/rx6A5LBdy18/s320/kedah%2520sejahtera%25202.png

Khamis, 12 Mei 2011

Sinar Harian - ‘Yan Bersih Rakyat Sejahtera’


YAN - Program gotong royong 'Yan Bersih Rakyat Sejahtera' diadakan sebagai pembuka tirai menyambut ketibaan Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin dan Raja Permaisuri Agong, Tuanku Nur Zahirah sempena lawatan rasmi Baginda ke Kedah, bermula 13 hingga 15 Mei ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak berkata, gotong royong merangkumi semua kawasan, termasuk kaki Gunung Jerai hingga ke puncak sebagai persediaan menyambut ketibaan Baginda.

"Kita rasa bertuah kerana Yang di-Pertuan Agong bersama Raja Permaisuri Agong memilih untuk berehat di Gunung Jerai sempena lawatan rasmi ke Kedah. Ini pertama kali Baginda melawat Kedah, dan saya harap masyarakat Yan keluar ramai-ramai menyambut kedatangan Baginda di kaki gunung," katanya ketika melancarkan program 'Yan Bersih Rakyat Sejahtera' di Perkarangan Pejabat Penghulu Mukim Sala Besar.

Hadir sama, Ahli Parlimen Jerai, Firdaus Jaafar.

Azizan berkata, program itu juga sebagai menyokong usaha Kerajaan Negeri untuk menjadikan Yan sebagai daerah pelancongan terkemuka.

"Langkah pertama ialah membersihkan daerah Yan, sebelum kita rangka pelbagai aktiviti lain. Buat permulaan, gotong royong bermula di Parit Kilik dari Titi Sarang Semut sehingga Titi Batu 18, Guar Cempedak," katanya.

Menurutnya, gotong royong turut diperluas ke tempat-tempat awam, kawasan pelancongan, medan-medan selera, masjid, surau, kawasan perkuburan, pekan-pekan dan kampung-kampung dalam daerah Yan.

Azizan berkata, walaupun Yan merupakan kawasan luar bandar, namun ia adalah aset bernilai Kedah kerana mempunyai kawasan strategik sebagai tarikan pelancong.

"Gunung Jerai adalah tempat terbaik selepas Pulau Langkawi. Gunung Jerai mendapat perhatian negara sebagai tempat pelancongan yang tidak tercemar," katanya.

Menurutnya, antara perancangan yang dirangka untuk Yan ialah mewujudkan landskap bumi daerah Yan, dengan tumpuan kepada Gunung Jerai, Titi Hayun, Kampung Raga dan pulau-pulau yang ada di daerah Yan antaranya, Pulau Dayang Bunting, Pulau Bidan dan yang berpotensi.

"Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah (PKNK) turut membeli tanah seluas 13 ekar di Titi Hayun bagi tujuan itu. Semuanya adalah untuk menarik perhatian pelancong selaras dengan hasrat menjadikan Yan sebagai daerah pelancongan," katanya.

Sehubungan itu, Azizan menggesa semua pihak menjaga tahap kebersihan di Yan supaya usaha Kerajaan Negeri untuk melonjakkan industri pelancongan di daerah itu terlaksana.

Azizan turut berpuas hati dengan perkhidmatan syarikat E-Idaman, yang dipertanggung jawabkan mengurus sisa pepejal di negeri ini.

"Untuk peringkat seterusnya perjanjian mewujudkan tempat pelupusan sisa pepejal akan ditandatangani. Dengan wujudnya tempat pelupusan itu akan mengurangkan budaya masyarakat yang gemar membuang sisa-sisa ke merata tempat," katanya.

Menurutnya, selain memastikan bandar raya ini bersih daripada sampah-sarap, Kerajaan Negeri juga dalam usaha meningkatkan kualiti air.

"Kita sudah hantar Exco bersama Ketua Pegawai Eksekutif Syarikat Air Darul Aman (Sada) ke Switzerland untuk melihat keupayaan 'meter' yang digunakan untuk menghasilkan air yang sempurna.

Kita akan mulakan projek ini segera di loji Padang Sanai untuk pastikan rakyat mendapat bekalan air yang bersih," katanya.

Azizan berkata, pihaknya yakin setelah loji berkenaan beroperasi kelak, ia dapat membekalkan bekalan air secukupnya ke kawasan sekitar.

"Ada yang tak sabar... Kalau 50 tahun boleh sabar, takkan tiga tahun tak boleh sabar," katanya berseloroh.

Tiada ulasan: