Sabtu, 14 Mei 2011

Yang Di-Pertuan Agong mulakan lawatan rasmi ke Kedah

Ditulis oleh WADIASSOFI JAAFAR

ALOR SETAR, 13 Mei – Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong dan Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong mengadakan lawatan rasmi ke Negeri Kedah Darul Aman pada 13 hingga 15 Mei 2011.

Keberangkatan tiba Baginda berdua di Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim, Kepala Batas, di sini disambut oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia (KDYMM) Tuanku Sultan Kedah dan KDYMM Tuanku Sultanah Kedah.

Berangkat sama ialah Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Kedah dan DYTM Raja Puan Muda Kedah; Yang Teramat Mulia Dato' Seri DiRaja Tunku Soraya dan YTM Tunku Panglima Besar Dato' Seri Tunku Puteri Intan Safinaz.

Hadir sama ialah Menteri Besar, YAB. Dato' Seri Ustaz Azizan Abdul Razak dan isteri, Toh Puan Hajah Faikah Sheikh Hamzah; Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri dan Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri.

Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong dan Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong menerima tabik hormat dan lagu ' Negaraku' dan 'Allah Selamatkan Sultan' turut dinyanyikan oleh pancaragam pusat Askar Melayu DiRaja Kem Sungai Besi.

Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong turut memeriksa perbarisan kehormatan yang terdiri daripada empat pegawai dan 103 anggota lain-lain pangkat dari Rejimen Askar Melayu DiRaja Kem Sungai Besi.

Sebanyak 21 das tembakan turut dilakukan dari 41 Bateri Rejimen Artileri DiRaja Kem Sungai Besi.

Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong dan Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong bersama-sama KDYMM Tuanku Sultan Kedah dan KDYMM Tuanku Sultanah Kedah berangkat ke Istana Tetamu, Mentaloon, di sini.

Tiada ulasan: