Khamis, 26 Mei 2011

Sah, tiga tanding Timbalan Ketua Pemuda PAS

KOTA BHARU, 26 Mei: Kini sah, jawatan Timbalan Ketua Pemuda PAS bakal ditandingi tiga individu iaitu penyandangnya, Azman Shapawi Abdul Rani, Ketua Penerangan, Suhaizan Kaiat dan Pengarah Pilihan Raya, Mohd Firdaus Jaafar.

Teka-teki perebutan jawatan itu terjawab apabila tiga calon yang ditunggu-tunggu membuat keputusan, akhirnya memutuskan menolaknya.

Ketika dihubungi Harakahdaily, Nik Abduh Nik Aziz, Riduan Mohd Nor dan Mohd Nor Hamzah masing-masing menyatakan hasrat tidak akan bertanding jawatan nombor dua itu.

Nik Abduh bagaimanapun memberitahu hanya akan bertanding untuk jawatan Ahli Jawatankuasa (AJK) PAS Pusat.

"Ana ada bincang dengan kawan-kawan. Biar tiga (Azman, Suhaizan, Firdaus) tu lah yang bertanding.

"Kita ni dah lebih umur untuk pemuda ni kena pergi ke PAS Pusat la pulak," katanya yang kini mencecah 41 tahun.

Riduan juga turut membuat keputusan sama, bertanding AJK PAS Pusat dengan satu lagi untuk jawatan AJK Dewan Pemuda bersama Mohd Nor.

Sebelum ini, tiga lagi calon yang layak bertanding jawatan itu iaitu Nasruddin Hassan, Raja Ahmad Al-Hiss Raja Yaakob dan Ahmad Sabki lebih awal mengumumkan pendirian mereka.

Nasruddin yang sebelum ini mengumumkan akan mempertahan jawatan Ketua Pemuda sekaligus menolak bertanding jawatan Timbalan Ketua.

Raja Ahmad Al-Hiss juga menolak untuk jawatan nombor dua itu dan mengumumkan untuk bertanding jawatan Naib Ketua Pemuda manakala Ahmad Sabki untuk jawatan AJK PAS Pusat.

Bagaimanapun keputusan rasmi pertandingan untuk semua jawatan hanya akan diumum Jawatankuasa Pemilihan PAS esok, selepas tarikh terakhir penyerahan surat jawapan ditutup jam 5 petang ini.

Berikut ialah senarai calon versi kemaskini Harakhadaily yang akan bertanding jawatan tertinggi Dewan Pemuda PAS Pusat sesi 2011-2013:

Ketua
1. Nasaruddin Hassan

Timbalan Ketua
1.    Azman Shapawi
2.    Firdaus Jaafar
3.    Suhaizan Kaiat

Naib Ketua
1.    Kamaruzaman Mohamad
2.    Khairi Faizi Kamil
3.    Mohd Nor Hamzah
4.    Mohd Sany Hamzan
5.    Nasir Zakaria
6.    Raja Ahmad Al-Hiss Raja Yaakob

Tiada ulasan: