Ahad, 26 Julai 2009

Aura Fadhil Noor -Kebijaksanaan Memimpin Ummah

“Innalillah wainna ilaihiraajiun” Sesungguhnya daripada Allah kita datang, dan kepadaNya akan kembali. Selawat dan salam penuh penghormatan kita kepada Nabi Muhammad saw dan kaum keluarga serta sahabat-sahabat Baginda yang dikasihi sekelian…radhiyallah anhum ajmain. Seterusnya tidak dilupakan kepada semua alim-ulama', pemimpin-pemimpin yang begitu berjasa kepada ummah di sepanjang zaman, terlebih dahulu pergi menyambut seruan Ilahi… kepada roh mereka semua…al-Fatihah!

Sebenarnya… saya termanggu beberapa detik ketika, seusai amein al-fatihah tadi. Dek kerana tokoh yang saya cuba mengenengahkan keperibadian, kebijaksanaan, keilmuan, kepimpinan dan segala-galanya yang baik yang terdapat pada tokoh tersebut, saya mula rasa gerun.., cemas kepada kemampuan diri saya sendiri, begitu kerdil malah picisan. Apatah lagi ruang yang saya cuba isikan ini terlalu kecil cuma sebagai sebuah risalah sahaja, namun saya cuba untuk menggagahinya jua demi kepentingan ummah dan atas sifat seorang yang pernah menikmati .. sedikit tunjuk ajar al-Marhum semasa hayat beliau.

Al-Marhum Ustaz Fadhil Mohd Noor, sebenarnya adalah lebih berhak dan layak untuk dibicarakan di persada ummah dan kemanusiaan sejagat berbanding perjuangan yang dilihat secara zahirnya bersama PAS sebagai seorang pemimpin parti politik. Memang benar di penghujung usia beliau, al-Marhum adalah Presiden PAS merangkap Ketua Pembangkang di Parlimen. Namun di hati-hati ummah sesiapa pun tidak boleh menafikan bahawa beliaulah pemimpin umum yang ummah kenali dan begitu dekat serta mesra dengan semua lapisan masyarakat dari semua seginya.

Tujuh tahun masa berlalu…sejak pemergian beliau dari kehidupan ummah semua, PAS telah pun diterajui oleh penggantinya sebagai Presiden PAS malah barisan pelapisnya pun sudah beberapa kali diperbaharui akan mandat mereka oleh muktamirin PAS. Kekosongan dalam PAS telah pun berisi, walaupun tak dapat memenuhi semua ruang yang dikosongkan oleh al-Marhum. Persoalan besar ummah pula ialah kekosongan kepimpinan ummat Islam yang turut sama ditinggalkan oleh al-Marhum masih juga dirasai sebahagian besar mereka sebagai lompangan yang tak terisi oleh sesiapa. Kenapa dilihat oleh ummah sedemikian dan tak dapat ditampung oleh mereka yang ditinggalkan ?

Mungkin tulisan Saudara Hj Subky Latif ini mengandungi jawapannya.. `Beliau belajar apa yang orang miskin boleh pelajari, beliau membuat apa yang orang biasa boleh buat, beliau berjuang apa yang orang ramai boleh perjuangkan dan beliau beramal sebagaimana orang awam berupaya menunaikan. Kalau beliau sebagai orang miskin, orang biasa, orang ramai dan orang awam dapat mencapai sesuatu yang membanggakan, mengapa orang lain sepertinya tidak boleh berbuat sepertinya. Beliau boleh buat kerana ada azam dan keberanian sepertinya. Itulah yang perlu dipelajari dan dicontohi.` Buku Fadhil Noor dia guru…dia kawan.

Kekosongan kepimpinan ummah tidak wajar dibiarkan berlarutan, berpanjangan. Ummah perlu memikirkan sesuatu dan berusaha mencari jalan penyelesaiannya. Langkah pertama yang saya fikir kita semua mampu lakukan ialah lazimkan memikir dan meletakkan kepentingan ummah kebanyakan, marhaen mustad`afin dalam setiap gerak kerja perjuangan masing-masing. Biasakan hidup sebagai orang kebanyakan kerana di situlah ummah akan memahami serta merasai denyut nadi ummat Islam yang sebenarnya. Ya mustahil ! kita akan dapat menghidupkan semula `Fadhil Noor` ke alam realiti, tetapi sekurang-kurangnya kita mampu merintis jalan supaya adanya hambaAllah yang boleh mengganti, melaksanakan tugas seterusnya memimpin ummah kembali. Kepada pimpinan politik sensasi tak perlulah ummah harapkan lagi, masing-masing telah pun memilih dan membuat halatujunya sendiri. Kita doakan semoga ummah tidak mudah tergadai maruah dan harga diri.

Kehebatan Ustaz Fadhil bukan pada orangnya, tetapi lebih banyak terletak kepada kebijaksanaan kepimpinannya yang berpegang kuat kepada prinsip. Prinsip Islam serta perjuangan ummahnya yang kental menjadikan beliau mampu bertindak dan cepat membuat keputusan tanpa ragu-ragu. Sebagai pemimpin beliau memahami dan dapat menerima dengan kesabaran bahawa orang yang di bawahnya sentiasa terkemudian dalam memahami tindakan serta keputusannya. Banyak kes-kes yang dapat dihubungkan dengan perkara tersebut contohnya, memanggil perjumpaan yang terbentuknya GERAK sebelum dibawa ke mesyuarat PAS pusat, kemunculan beliau di rumah Anwar Ibrahim selepas dipecat dari TPM dan kesediaan al-Marhum menerima jemputan Syarahan Perdana Issu Palestine bersama Dr Mahathir. Semua yang tersebut peringkat awalnya mendapat bantahan dari kebanyakan orang PAS dan pimpinan PAS yang lainnya.

Kes Muhammad Sabu ditangkap khalwat di Kota Bharu, bagi saya amat menyerlahkan kebijaksanaan al-Marhum dalam menghadapi serta menangganinya sebagai pemimpin berbanding yang lainnya. Perkara ini ada disebut oleh Hj Subky Latif secara agak terperinci dalam bukunya Fadhil Noor dia guru… dia kawan. Ketika issu tersebut meletup.. ahli dan penyokong PAS di seluruh negara bagaikan disambar petir, terpinga-pinga, merah padam, mengenangkan apa yang bakal berlaku. YB Muhammad Sabu ketika itu bukan suatu hal yang penting lagi kepada ahli PAS tetapi Parti PAS itu sendiri bagaimana nasibnya nanti, dihadapkan kes berat sebegitu. Kebetulan pula waktu kejadian Presiden PAS yakni al-Marhum berada di luar negeri, mengerjakan umrah. Tinggallah Timbalan beliau dan Mursyidul Am mengawal-selia fitnah yang dihadapi.

Menurut Hj Subky, Mursyidul Am atau Ustaz Abu Bakar Chik antara orang yang mula-mula menangkis fitnah tersebut dengan membuat perbandingan seperti kes yang berlaku terhadap Siti Aisyah ra isteri Rasulullah saw, di mana tidak ada apa yang berlaku antara kedua-duanya. Lebih meyakinkan lagi mereka apabila perbandingan yang sama turut disertai oleh Timbalan Presiden. Pada awalnya Ustaz Hasan Syukri yang menolak perbandingan tersebut sebagai kurang tepat, terpaksa mendiamkan diri selepas arus perdana peluru penangkisnya semua begitu. Penerangan pun dilancarkan bagi menangkis ke seluruh negara.

Sekembali al-Marhum dari umrah, beliau tidak mudah melatah untuk menjawab semua soalan yang diajukan wartawan dan rakan-rakan. Agak payah bagi wartawan untuk menimbulkan sensasi dan kontroversi hasil temuramah atau perbualan dengan beliau. Beliau cukup teliti, rapi dan berbudi pekerti yang tinggi biarpun sesama sendiri. Bagi beliau segera panggilkan mesyuarat AJK Pusat. Mesyuarat yang penting, berjalan dengan serius semua dikehendaki memberi pandangan terhadap kes. Sebagai pengerusi mesyuarat, beliau cukup berhemah dengan mendengar semua pandangan. Seperti termaklum sebelah kanan beliau ialah Timbalan dan seterusnya Mursyidul Am yang meneruskan hujah-hujah yang sama di samping memberi cadangan supaya dilipat gandakan lagi usaha-usaha penerangan balas melawan media massa. Ahli-ahli mesyuarat yang lain siapa pun tidak berani atau mampu mempunyai hujah berbeza melainkan lebih kurang sama sahaja dengan kedua-dua tokoh besar PAS itu.

Tulis Hj Subky, cuma Ustaz Harun Taib seorang sahaja yang memberi pandangan yang berbeza dan mengatakan pandangan ramai tersebut tidak secocok dengan kejadian Muhammad Sabu. Ustaz Hassan Syukri yang peringkat awal berbeza juga tetapi tidak mengemukakannya dalam mesyuarat tersebut. Apabila tiba giliran Pengerusi memberikan pandangan, beliau menggelengkan kepala, “Saya tak dapat nak terima perbandingan dengan Aisyah ini, Hujah itu tak lepas. Payah orang nak terima.”

Tiada ulasan: