Rabu, 8 Julai 2009

Mansuh PPSMI 'kejayaan rakyat'

Pengerusi Gerakan Mansuhkan PPSMI (GMP), Datuk Hassan Ahmad menyifatkan keputusan kerajaan memansuhkan dasar Pembelajaran dan Pengajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI) mulai 2012 sebagai satu kejayaan rakyat.

"Rakyat seluruhnya tentu lega dan gembira, kerana pengajarannya di sekolah kebangsaan Cina dan India juga turut dikembalikan kepada bahasa ibunda masing-masing," katanya kepada Malaysiakini.

GMP merupakan gabungan badan-badan bahasa, NGO dan parti-parti politik yang ditubuhkan untuk mendesak kerajaan supaya memansuhkan dasar yang diperkenalkan sejak 2003.Melalui GMP, isu PPSMI juga turut dibangkit dalam kempen beberapa pilihanraya kecil yang diadakan sejak awal tahun ini.

Hassan mengucapkan syabas kepada Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin, yang menteri pelajaran, kerana "berani membuat keputusan yang benar" demi kebaikan masa depan rakyat.
Katanya, PPSMI merupakan satu dasar yang salah dan menyusahkan rakyat serta membazirkan wang untuk kembali kepada dasar asalnya.

"Walaupun pelaksanaan sepenuhnya hingga 2012, tetapi bagi saya ia melibatkan operasi, bukan soal dasar PPSMI," katanya ketika diminta mengulas pengumuman Muhyiddin hari ini.

Hassan berkata, GMP memberi sokongan penuh kepada beliau sehingga proses seterusnya sehingga 2012.

Berikutan itu, katanya, GMP akan bermesyuarat dalam masa terdekat sebelum mengeluarkan kenyataan rasmi mengenai pemansuhan PPSMI.

Daulat bahasa Melayu

Ditanya sama ada pemansuhan itu lebih baik dilaksanakan secara serta-merta, Hassan berkata:

"Tak usahlah, tak payah begitu. Kita dah enam, tujuh tahun (dalam dasar itu), sekarang sudah kembali sepenuhnya seperti dahulu. Apa yang kerajaan perlu buat, ialah tumpu perhatian dengan meningkatkan kaedah pengajaran bahasa Inggeris sebagai bahasa kedua, bukan bahasa pertama. Supaya anak-anak semua kaum mahir bahasa Inggeris sebagai bahasa kedua," tambahnya.

Sementara itu, Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) turut menyambut baik keputusan kerajaan itu.

"Keputusan itu merupakan satu tafsiran komitmen kerajaan untuk mempertahan dan mendaulatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan. Ia juga cerminan sikap kerajaan yang bersedia untuk mendengar dan mengambil pertimbangan sewajarnya terhadap suara rakyat," kata badan itu dalam satu kenyataan.
NGO itu juga berpendapat bahawa keputusan tersebut bijak serta bertepatan dengan usaha untuk mengukuhkan perpaduan nasional melalui bahasa kebangsaan.

Tiada ulasan: