http://3.bp.blogspot.com/_flipuZb0buo/TFI8qrEYV3I/AAAAAAAAA68/rx6A5LBdy18/s320/kedah%2520sejahtera%25202.png

Isnin, 6 Julai 2009

Manek Urai: PAS ditentang BN!

Manek Urai, 6 Julai (Hrkh) - Pilihan raya kecil Dun Manek Urai menyaksikan calon PAS, Mohd. Fauzi Abdullah, 50 akan ditentang calon daripada Barisan Nasional (BN), Tuan Aziz Tuan Mat, 39.
Status kedua-dua calon itu disahkan oleh Pegawai Pengurus Pilihan Raya Manek Urai, Adnan Hussin sebentar tadi.

Pemimpin Pakatan yakin Manek Urai kekal di bawah PAS

Mengambil kira situasi yang berlaku pada penamaan calon pagi tadi, ramai pemimpin Pakatan Rakyat melahirkan keyakinan arus kebangkitan rakyat pada Mac 2008 terus membadai Manek Urai.

Indikator yang menjadi ukuran iaitu kehadiran begitu ramai penyokong PAS yang memenuhi Masjid Jauhar seawal jam 7 pagi. Ketika solat hajat pada jam 7.45 pagi orang ramai sudah memenuhi perkarangan masjid tersebut yang terletak di simpang tiga ke bandar Kuala Krai - Gua Musang dan Kota Bharu.

Kemudian mereka berarak sepanjang 1.5 km yang sendat dengan orang ramai. Sepanjang laluan ada pula orang menjual pelbagai barangan. Sebaliknya penyokong Barisan Nasional (BN) dan Umno seolah-olah kehilangan semangat.

Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang melahirkan keyakinan PAS akan terus mempertahankan Dun Manek Urai pada 14 Julai ini apabila mengambil gerak kerja PAS dan Pakatan Rakyat yang berpadu tenaga.

Katanya, mengambil kira sokongan orang ramai tiada sebab PAS tidak mampu mempertahankan Dun tersebut.

"PAS InsyaAllah akan mempertahankan Dun tersebut mengambil kira apa yang berlaku di Kuala Krai hari ini, katanya.

Beliau turut memuji perjalanan proses penamaan calon tersebut kerana berjalan lancar tanpa sebarang masalah.

Presiden PAS juga berkata, isu kerajaan perpaduan yang cuba digembar gembur pemimpin Umno melalui media massa sebelum ini tidak berjaya apabila PAS tidak memberi ruang.

"Malah apa yang berlaku hari ini menggambakan kesepaduan pemimpin Pakatan Rakyat yang berganding tenaga mempertahankan Dun Manek Urai.

Pemimpin utama Pakatan Rakyat yang hadir antaranya, Penasihat DAP, Dr Tan Seng Giaw, Penolong Setiausaha Agung, Teressa Kok, Naib Presiden KeADILan, Azmin Ali, Pengarah Strategik KeADIlan, Saifuddin Nasution Ismail, Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim.

Bagaimanapun Ustaz Abdul Hadi yang juga anggota parlimen Marang berkata, keadaan sebaliknya berlaku pada BN apabila Presiden Umno, Dato' Seri Najib Razak tidak hadir bagi memberi sokongan kepada calon BN di Manek Urai.

"Ini menimbul satu persoalan sama ada beliau merasakan harapan BN untuk merampas Dun Manek Urai begitu samar sehingga dia tidak hadir hari ini," katanya ketika ditemui pemberita di pusat penamaan calon di Sekolah Menengah Sultan Yahya Petra di sini.

Naib Presiden PAs, Dato' Mahfuz Omar mempersoalkan ke mana pergi keuntungan Petronas sebanyak RM254 bilion sejak enam tahun lalu memandangkan masih ramai lagi rakyat hidup dalam keadaan dhaif.

Menurutnya sekiranya wang royalti sebanyak RM1 bilion dibayar kepada Kelantan sudah tentu banyak manfaat pembangunan untuk rakyat dapat dilaksanakan.

Pengarah Biro Strategi KeADIlan Pusat, Tian Chua isu royalti minyak yang dituntut rakyat dan kerajaan Kelantan membuatkan pemimpin Umno dan BN tidak dapat tidur lena.

Beliau berkata, pemimpin Umno masih mahu berdolak dalih berhubung perkara itu. Katanya, Kerajaan Pusat tidak sewajarnya menyorot royalti yang sememangnya menjadi hak rakyat Kelantan kerana telaga minyak terletak di kwasan perairan negeri ini.

"Rakyat seharusnya didedahkan berapa keuntungan yang diperolehi Petronas dan bukannya disembunyikan begitu sahaja.

"Hasil keuntungan Petronas rakyat tak tahu, sedangkan wang milik Petronas digunakan bagi menyelesaikan syarikat kerajaan yang bermasaalah," ujarnya.

Beliau juga menyifatkan rakyat Kelantan tetap bersabar dengan kerenah pemimpin BN dan Umno.
Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato Zaid Ibrahim berkata, Perdana Menteri perlu menjawab secara jujur benarkah pelantar minyak terdapat di perairan Kelantan.

Katanya, tidak pernah berlaku sebelum ini ada pemimpin utama negara yang membisu seribu bahasa biar pun didesak kerajaan negeri dan rakyat Kelantan mengenai pelantar minyak yang terdapat di perairan Kelantan.

"Kalau sikap berdiam diri diambil ia seolah-olah menggambarkan ada sesuatu masalah yang berlaku bagi menyembunyiikan perkara sebenar.

"Paling tidak pun Petronas sepatutnya membuat kenyataan bagi menjelaskan keadaan sebenarnya bagi mengelakkan rakyat terus keliru. Apa yang rakyat mahu dengar pelantar minyak ada atau tidak di perairan Kelantan," katanya.
Pada persidangan Dun baru-baru ini isu minyak menggamatkan Dewan apabila penyokong kerajaan mendesak perdana menteri menjelaskan royalti petroleum kepada Kelantan," katanya.

Tiada ulasan: