Selasa, 7 Julai 2009

Ahli Parlimen PAS Turun Padang Bina Rumah

TEMALIR, 7 Julai - Program Perkampungan Ahli-ahli Parlimen diteruskan hari ini dengan tiga upacara utama iaitu gotong-royong, motivasi pelajar dan ceramah umum.

Majilis gotong-royong tersebut diadakan bertujuan untuk membina tapak rumah seorang penduduk Kampung Temalir, Che Noh Salleh, 52, bagi menggantikan rumah beliau yang telah uzur.

Beliau yang ditemui pemberita, mengucapkan terima kasih kepada ahli-ahli Parlimen yang sanggup bertungkus lumus bergotong-royong untuk membina asas rumah tersebut.
"Sebenarnya saya telah memohon dengan pihak kerajaan persekutuan tetapi nama saya tidak tersenarai sebagai penerima bantuan perumahan," kata Che Noh Salleh.
Sementara itu, ahli parlimen Kuala Krai, Dr Mohd Hatta Ramli ketika ditemui menyatakan pihaknya akan berusaha memastikan agar rumah tersebut dapat disiapkan dengan pembiayaan sepenuhnya daripada sumbangan peribadi ahli-ahli parlimen PAS.

"Kami akan pastikan rumah ini siap. Pembiayaan pembinaan rumah ini sepenuhnya daripada wang peribadi ahli-ahli Parlimen PAS," katanya.

Rumah berukuran 32' x 22' kaki persegi tersebut dijangka menelan kos bernilai antara RM10,000 hingga RM15,000.
Selain itu, Dato' Mahfuz Omar yang bersemangat menyertai gotong-royong tersebut berkata, "Program Perkampungan ahli-ahli Parlimen PAS ini tidak terhenti setakat musim pilihanraya sahaja. Kami merancang untuk turun padang bertemu rakyat yang memerlukan".
Program gotong-royong ini akan diteruskan lagi esok bagi membaiki rumah kedai seorang penduduk di Manek Urai.

Tiada ulasan: