http://3.bp.blogspot.com/_flipuZb0buo/TFI8qrEYV3I/AAAAAAAAA68/rx6A5LBdy18/s320/kedah%2520sejahtera%25202.png

Rabu, 15 Julai 2009

Khir digantung setahun empat Adun BN enam bulan

SHAH ALAM, 15 Julai (Hrkh) - Dewan Negeri Selangor meluluskan usul terhadap Ketua Pembangkang, Dato' Seri Dr Mohd Khir Toyo digantung berkhidmat sebagai Adun dan dipotong semua elaun serta kemudahan bulanan selama setahun.

Timbalan Speaker, Haniza Talha telah memaklumkan keputusan tersebut sekitar jam 3 petang selepas usul tersebut dibahaskan dan mendapat sokongan majoriti di Dewan Negeri Selangor.

Berikutan itu, 18 Adun BN yang merupakan pembangkang di Selangor diketuai Khir Toyo bertindak keluar Dewan sebagai memprotes usul meluluskan cadangan hukuman itu telah dibuat dan dipersetujui oleh Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Dewan (JKHK).

Jawatankuasa itu turut menggantung empat Adun BN dengan dipotong elaun dan kemudahan bulanan selama enam bulan.

Ahli Dewan tersebut; Dato' Warno Dogo (Sabak-Umno); Mohd Isa Abdu Kasim (Batang Kali-Umno); Dato' Marsum Paing (Dengkil-Umno) dan Dato' Mohamed Idris Abu Bakar (Hulu Bernam-Umno) .

Usul yang dibawa oleh Lau Weng San (Kampung Tunku-DAP) menegaskan hukuman yang dikenakan keatas lima orang Adun itu berbeza dengan hukuman yang dikenakan ke atas Adun dan Ahli Parlimen Pakatan rakyat lalu.

"Saya telah meneliti penyata Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Dewan Negeri telah mengetahui bahawa Jawatankuasa telah diadakan dan satu sesi pendengaran dipanggil untuk lima orang Adun terlibat membela diri," jelasnya.

Beliau berkata, semua Adun terlibat diwakili tujuh orang peguam dan mereka telah mengemukakan bantahan dan tidak mengambil keputusan untuk membela diri.

Usul tersebut disokong oleh Ng Sue Lim (Sekinchan-DAP) yang menegaskan Speaker tidak terlibat dengan cadangan memutuskan hukuman penggantungan terhadap Khir Toyo dan empat Adun BN yang lain.

Penegasan beliau itu berikutan dakwaan Khir bahawa penggantungan perkhidmatan Adun selama setahun itu dilakukan oleh Speaker dengan niat jahat dan balas dendam.

Sementara itu, Adun (Meru-PAS), Dr Rani Osman mengingatkan Khir supaya jangan bersikap mendabik dada dengan menganggap kekayaan yang diperolehi adalah hasil titik peluhnya.

Dengan kekayaan itu katanya, Khir boleh melakukan apa saja tindakan dan lebih parah menggunakan kuasa untuk menindas golongan bawahan tanpa mengira orang Islam atau bukan Islam.

Beliau berkata demikian ekoran kenyataan Khir yang mendabik dada kewajarannya untuk tinggal di rumah besar kerana sebagai bekas Menteri Besar dan tidak sesuai tinggal di rumah pondok.

Menurut beliau, pondok itulah yang telah mengeluarkan ramai para ulama, pencinta negara dan pejuang yang telah mengorbankan jiwa mereka untuk tanah air.

Beliau turut menyelar sikap Khir yang melemparkan fitnah bahawa kerajaan Pakatan Rakyat banyak berbohong dengan rakyat dalam melaksanakan pentabdiran.

"Saya hendak tanya adakah Sungai Panjang mengetahui bahawa rakyat hari ini masih rakyat yang lama, yang tidak tahu ICT, rakyat hari ini telah berubah," tegasnya.

Bagi Shaari Sungib (Hulu Kelang-PAS) mengingatkan Khir Toyo supaya segera bertaubat kerana enggan menjadi saksi telah mengakibatan dosa besar.

Ini kerana katanya, wakil rakyat merupakan pembela hak rakyat dan menjadi saksi utama adalah fardhu ain yang sangat dituntut dalam agama Islam.

Ekoran tindakan Khir yang keluar dewan beliau menegaskan, itu membuktikan kegagalan BN mendukung prinsip Islam telah terdedah di sidang Dewan Negeri.

Menurut beliau, apabila seseorang itu enggan menjadi saksi satu penyakit lain telah timbul iaitu beliau cuba memutar belit dengan membawa keterangan yang tidak sewajarnya.

"Kita telah menyaksikan beliau (Khir) memutarbelitkan fakta walaupun beliau telah diberi peluang seluas-luasnya dengan notis pemberitahuan peguam tetapi beliau enggan datang dalam siasatan Selcat," tegasnya.

Beliau mengingatkan Khir bahawa tindakannya itu bukan saja telah melakukan penghinaan terhadap Dewan tetapi telah melakukan dosa kepada Allah kerana enggan menjadi saksi dan memutarbelitkan fakta dan berbohong.

"Saya seru beliau bertaubat dan memperbaiki diri," katanya.

Menurut beliau, 18 wakil rakyat BN yang turut keluar dewan membuktikan bahawa mereka bukan saja tidak bersedia untuk mempertahankan hak rakyat tetapi curang dan cuai terhadap rakyat./SH _

Tiada ulasan: